Pages

Friday, 30 May 2014

Selamat Ari Gawai Dayak

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat. Kebanyakan kaum-kaum Dayak ini masih tinggal di rumah-rumah panjang dan setengah-tengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Ada juga yang sudah tinggal menetap di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara hidup yang lain. 
















Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.













Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September 1964 apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke.



Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama lebih kurang sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun bagi masyarakat Dayak. Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung tikar.


Penanaman padi adalah aktiviti utama pada kehidupan orang Dayak sejak dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas tamatnya musim menuai padi, sudah tentunya kaum Dayak mempunyai banyak beras. Jadi, sesuailah masanya untuk meraikan pesta-pesta tertentu yang diperlukan.


SELAMAT ARI GAWAI NGAGAI SEMUA



Sumber : Wikipedia

Thursday, 29 May 2014

Maksud disebalik tatu 'Bunga Terung' kaum Iban

  
Terima Kasih saya ucapkan kepada admin SARAWAKIANA (FB) kerana membenarkan saya untuk berkongsi artikel ini.

Gambar hiasan
Disini saya ingin berkongsikan maksud disebalik tatu 'Bunga Terung' yang sangat popular di Sarawak khusunya bagi Masyarakat Iban malah sudah popular di peringkat antarabangsa.


Sarawak memang cukup terkenal dengan negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Salah satu kaum yang yang cukup terkenal dengan keunikannya pakaian tradisional, tarian tradisi turun temurun ialah masyarakat kaum Iban.

Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak, mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di tiur laut tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri.

Gambar hiasan

Suatu ketika dahulu masyarakat Iban di negeri ini terkenal dengan tradisi ''ngayau'' yyang membawa maksud memenggal atau memburu kepala musuh. Kisahnya pernah diabadikan oleh penulis terkenal Barat, Carl Bock di dalam bukunya The Head Hunters of Borneo yang diterbitkan pada 1881.

Kira-kira tiga juta orang Dayak yang merangkumi suku Iban, Melanau, Orang Ulu, Kayan, Penan dan lain-lain yang menetap di Sarawak. Setiap suku ini mempunyai bahasa dan budaya tersendiri yang sukar ditemui selain di Sarawak.


Walaupun terdapat banyak perbezaan antara suku-suku kaum ini namun terdapat satu persamaan yang umum iaitu tradisi mencacah tatu.

Amalan mencacah tubuh atau bertatu di kalangan generasi dulu dan kini berbeza kerana dahulu tatu menjadi budaya, identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan masyarakat atau sesuatu kaum.

Sekadar gambar hiasan


Tatu bagi masyarakat Iban dimasa lampau merupakan simbol fisik yang secara langsung memperlihatkan sosial sesorang dalam masyarakat.


Bagi masyarakat Dayak Iban terdapat tujuh bentuk motif tatu biasa yang digunakan oleh masyarakat Dayak Iban saat ini iaitu ukir rekung, bunga terung, ketam itit(duck crab) kelingai, buah Andu, buah engkabang atau bunga tengkawang, bunga terung keliling pinggang.


Dari segi mitologis, masyarakat Dayak Iban percaya Batara (Tuhan) menghendaki orang Iban bertatu sebagai penanda bagi Batara untuk mengenali orang-orang Iban.

Salah satu jenis tatu yang sering dilihat pada masa kini adalah tatu bunga terung. Mesti ramai yang tertanya-tanya apakah maksud 'bunga terung' yang dicacah di bahu kanan dan kiri mereka. Tatu bermotif bunga terung tidak sembarangan dimiliki oleh semua kalangan msyarakat


Tatu bunga terung merupakan hasil dari seni dan tradisi di Kalimantan Barat. Tatu bunga terung merujuk maknanya pangkat atau kedudukan sebab umumnya letak pertama ada di bahu.



Corak ini akan dicacah atau dipantang pada kedua-dua belah bahu orang lelaki. Hanya orang lelaki yang mempunyai tatu ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga.



Tatu tersebut dikatakan mempunyai semangat spiritual yang tinggi kepada si pemilik tatu iaitu memberi kekuatan kepada bahu kerana segala aktiviti berat akan dipikul di bahu, seperti contoh memikul bebanan sebagai anak laki-laki kepada keluarganya.


Di tengah 'bunga terung' pula terdapat corak pusaran yang melambangkan hidup baru dan mendapat pengaruh daripada perut berudu. Tatu ini merupakan azimat dan mantera wheel' bagi mereka yang mengembara.


Bagi masyarakat Dayak Iban, seseorang yang memiliki tatu bunga terung di sekeliling pinggang biasanya lapan buah bererti orang itu sudah mempunyai banyak pengalaman.


Selain itu, maksud tatu bunga terung juga merupakan satu petanda bagi mereka yang sudah cukup puas merantau dan menguasai ilmu pengetahuan.

Di semenanjung, tatu secara umumnya dianggap lambang bagi kumpulan kongsi gelap atau sekadar suka-suka. Namun, bagi masyarakat Iban di negeri ini, ia adalah lambang kelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki.

Sumber Artikel Sarawakiana

Nilai tradisi tatu dalam masyarakat Iban

Artikel ini saya perolehi dari Borneo Post Online
May 10, 2014
oleh Hamimi Kassim


Peminat seni tatu (dari kiri) Parn, Boy Iban dan Susan bergamabr di studionya
TATU atau ‘pantak’ dalam bahasa Iban, merupakan lambang peribadi dan keunikan seni tradisi yang sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak. 


Pada masa dahulu, masyarakat Iban menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang.

Corak-coraknya pula dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada semangat atau roh jahat, mengelak kecelakaan serta penyakit dan menakutkan musuh.

Pada masa dahulu juga, tatu dianggap sebagai lambang kejantanan, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki setelah sesuatu kejayaan dicapainya.


Sementara wanita Iban pula, tatu pada jari, lengan, kaki dan paha melambangkan kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi.


Timba Pengalaman

Menurut Allanstair Dend atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iban, 30, pada masa dahulu masyarakat Iban cenderung menggunakan corak diilhamkan daripada flora dan fauna seperti bunga terung, burung kenyalang, naga dan banyak lagi.

Seiring dengan peredaran arus zaman, tatu yang menjadi pilihan generasi hari ini lebih kepada motif bercorak moden diinspirasikan daripada tatu seluruh dunia.

Menurut Boy Iban, minatnya terhadap seni tatu memang sudah lama ada tetapi dia mula serius menceburkan diri dalam bidang tersebut kira-kira 10 tahun lalu.

“Disebabkan tiada pengajar, saya mengambil inisiatif sendiri dengan belajar melalui pemerhatian dan menonton video dari YouTube.

“Memang tidak dapat dinafikan YouTube paling banyak membantu dan saya masih ingat, saya belajar dari situ kira-kira lapan tahun baharulah dapat mahir seperti sekarang,” katanya yang kini mempunyai kemahiran dalam membuat tatu teknik moden dan tradisional (teknik mengetuk atau handtap).

Boy yang merupakan pemilik studio Pengayau Ink Tatoo di Kuching memberitahu, dia turut mengalu-alukan generasi muda yang berminat mempelajari teknik menghasilkan tatu di situ.


BERAKSI: Susan sedang melukis tatu pada lengan seorang pelanggan.
Susan sedang melukis tatu pada lengan pelanggan
TOLAK PERSEPSI
“Sebagai seorang yang bermula dari bawah, saya memahami kekurangan landasan untuk mempelajari teknik membuat tatu di bandar ini.

“Sesetengah orang tidak mahu mengajar teknik yang mereka ada mungkin atas sebab eksklusif dan berpendapat akan mengganggu perniagaan mereka nanti.

“Namun bagi saya, sesiapa yang berminat pasti kita akan galakkan kerana dari situ sahajalah cara kita dapat mempertahankan seni dan tradisi yang ada ini daripada hilang sekiranya tiada pelapis,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai persaingan perniagaan tatu di bandar ini, jelasnya, seperti perniagaan perkhidmatan lain pastinya mempunyai persaingan terutamanya daripada pembuat tatu sambilan. “Namun begitu, kita melihatnya dari sudut positif.

“Peluang kita adalah sama jadi terpulang kepada pelanggan untuk memilih dan mereka lebih tahu apa yang mereka inginkan,” katanya mengakui peluang perniagaan semakin meluas dengan adanya media sosial.

Sementara itu, seorang gadis dari Miri yang dahulunya hanya memiliki kemahiran membuat tatu dengan kaedah tradisional kini sudah mula mendalami kemahiran membuat tatu kaedah moden di bawah tunjuk ajar Boy Iban.

Susan Christie, 23, mengakui walaupun terdapat pelbagai persepsi dan pandangan orang terhadap kaum wanita yang menceburi seni ukiran tatu, namun dia tekad dan menguatkan semangat kerana minatnya yang mendalam kepada seni itu.

“Saya mula menceburkan diri dengan serius dalam bidang ini pada tahun 2012 dengan mempelajari teknik handtap daripada sahabat yang juga guru saya, Silvester Juli di Miri.

“Cabaran sebagai seorang pembuat tatu wanita sememangnya dapat saya rasakan dan kadang-kadang berasa sungguh ‘kecil’ apabila dikelilingi pembuat tatu lelaki,” ujarnya.

Ketika ditanya perbezaan antara teknik tradisional dan moden, Susan memberitahu paling ketara adalah masa yang diambil.

“Membuat tatu menggunakan kaedah tradisional memakan banyak masa dan disebabkan itu juga kadar bayaran dikenakan bagi teknik itu mahal sedikit.



“Namun begitu, satu perkara yang ramai tidak tahu ialah kaedah tradisional kurang sakit berbanding menggunakan mesin dan ini diakui oleh ramai pelanggan setelah mencubanya sendiri,” ceritanya.




KOLEKSI STUDIO PENGAYAU INK TATOO
Koleksi studio Pengayau Ink

KEPUASAN PELANGGAN

Boy dan Susan bersetuju, sebagai pembuat tatu keutamaan mereka adalah pelanggan yang mana daripada permulaan hinggalah selesai membuat tatu.

Menurut mereka berdua, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan mereka kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup di tubuh seseorang.

“Dalam proses pembuatan tatu, selain corak tatu yang akan kita bincangkan bersama, kebersihan adalah antara perkara utama yang kami pentingkan,” jelas mereka yang mana pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menghasilkan tatu menggunakan peralatan moden atau tradisional ataupun proses dilaksnakan di studio atau lokasi pilihan mereka.

Sementara itu, seorang lagi perantis di Pengayau Ink Tatoo iaitu Rattanaparn Eh Poon (Parn Promdi), 21, dari Kuala Lumpur berkata, dia teruja datang ke Sarawak kerana dapat menambah pengetahuannya dalam seni tatu.

“Walaupun hanya tujuh bulan di sini, saya pasti akan memanfaatkan peluang yang ada kerana bagi saya minat yang mendalam pada seni tatu,” ujarnya memberitahu tempat bukanlah penghalang kepada minatnya.

Parn yang turut mempelajari teknik membuat tatu daripada YouTube mengakui bahawa seni ini bukanlah suatu yang mudah dan ia memerlukan ketelitian, fokus serta kemahiran yang tinggi.

Sepanjang berada di studio Pengayau Ink Tatoo, ketiga-tiga anak muda ini langsung tidak ‘lokek’ memberikan maklumat dan mengalu-alukan kedatangan penulis.

Paling penting mesej yang mereka ingin sampaikan iaitu jangan sesekali memandang serong terhadap individu bertatu paling penulis sokong kerana sebagai sebahagian komuniti majmuk dan berbilang bangsa, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberi persepsi negatif kepada golongan yang mencacah dan memiliki tatu.

Mereka turut melahirkan rasa sedikit kecewa apabila masih terdapat segelintir masyarakat masih mempunyai persepsi individu bertatu adalah kumpulan samseng dan budak jahat.

Lawatan penulis ke studio terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce itu tidak dapat dilupakan apabila mereka turut menunjukkan koleksi hasil karya dan lukisan tatu koleksi peribadi mereka yang disimpan di dalam fail khas.

Melalui lukisan itu, dapat penulis simpulkan bahawa bakat yang anak muda ini miliki sungguh hebat dan berharap mereka berjaya dalam bidang yang diceburi.

Tatu bukan lambang Gangster



ISYMEL Lumut @ Roy Apai Sali (dua dari kiri), Robert Mayau dan Peter John menunjukkan keunikan ukiran tatu pada Pameran Tatu Miri di Dewan Suarah Miri, Sarawak, baru-baru ini.

MIRI 18 Okt. – Tradisi bertatu (bercacah) badan sebenarnya sudah lama wujud di kalangan masyarakat Iban, malah pernah menjadi status penting untuk menunjukkan kehebatan dan kekuatan setiap lelaki pada zaman itu. Ukiran pada bahagian leher misalnya, eksklusif untuk lelaki Iban yang berjaya memenggal kepala musuh dalam pertempuran.

Antara motif yang begitu terkenal dari dulu hingga sekarang ialah bunga terung atau ‘bungai terung’ dalam bahasa Iban. Motif suku Iban ini sebenarnya pernah hampir pupus pada tahun 1970-an apabila ia digantikan dengan motif dari Jepun seperti singa dan naga. Perubahan corak tatu ini turut mempengaruhi pandangan orang awam mengenai tatu. Terdapat golongan tertentu mengaitkan budaya bercacah badan dengan aktiviti jenayah dan gengsterisme, walaupun pada hakikatnya di sini ia bukan begitu. Persepsi itu menyebabkan ramai di kalangan generasi muda takut bertatu badan kerana bimbang sukar mendapat pekerjaan terutama dalam sektor awam.

Justeru, tidak hairan ada yang menggunakan seterika panas untuk menghilangkan ukiran tatu di badan khususnya bahagian yang terdedah seperti lengan. “Tatu sebenarnya seni warisan nenek moyang kami yang amat indah, namun sayangnya dicemari dengan imej gengster dan jenayah. Tidak semestinya memiliki tatu, anda seorang penjenayah yang dikehendaki,” kata legenda tatu terkemuka Sarawak, Peter John Jaban kepada Utusan Malaysia semasa Pameran Tatu Miri di Dewan Suarah, di sini baru-baru ini.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, beliau pada 1998 telah mengambil inisiatif untuk mengukir motif ‘bungai terung’ di badannya sendiri, walaupun masa itu merupakan era untuk motif naga dan singa. Katanya, tindakan menghidupkan semula ukiran tatu itu pernah dianggap ‘gila’, namun usahanya itu ternyata berbaloi apabila motif tatu itu bukan sahaja diterima oleh masyarakat tempatan, bahkan pelancong luar turut tertarik dengan keunikannya.

Beliau yang merupakan penasihat kepada beberapa persidangan tatu di Borneo menambah, orang awam harus mengubah pandangan serong terhadap tatu sebaliknya menerima ia sebagai satu seni dan fesyen.

“Kini semakin ramai golongan profesional seperti peguam, hakim bahkan doktor bertatu badan mereka dengan corak ukiran yang unik. Perkembangan ini membuktikan yang tatu semakin diterima di kalangan masyarakat,” katanya.

Menyentuh Pameran Tatu Miri yang julung kali diadakan di sini, John Jaban berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai seni tatu. Kita masih mengekalkan motif tradisi, namun cara atau kaedah tatu pada zaman kini jauh berubah sejajar dengan perubahan zaman. Semua perkakas yang digunakan termasuk jarum akan melalui proses pensterilan untuk mengelakkan jangkitan. “Selain memastikan kebersihan jarum yang digunakan, artis tatu sendiri mengutamakan aspek kebersihan dengan menggunakan sarung tangan sepanjang masa.

Katanya, seni bercacah dilakukan dengan cara betul dan orang awam tidak perlu meragui keselamatannya. Ujarnya, setiap pelanggan menggunakan jarum berasingan dan jarum yang sudah digunakan akan dilupuskan dengan cara selamat untuk menggelakkan terpijak dan merbahayakan keselamatan orang lain.

Di samping itu, pameran itu bertujuan untuk memulihara amalan tradisional dengan mempamerkan kemahiran penduduk tempatan melukis tatu pada badan. Sementara itu, seramai 50 peminat dan artis tatu menyertai pameran selama dua hari bermula 9 Oktober lalu yang diadakan di aras bawah Dewan Suarah Miri.

Menurut John Jaban, mereka tidak menyangka sama sekali sambutan yang luar biasa memandangkan ia pertama kali diadakan di Miri. Sebelum ini, kita pernah menganjurkan konvensyen tatu di Kuching dan Sibu, namun sambutan di sini begitu memberangsangkan. Saya tidak menyangka Miri mempunyai ramai bakat terpendam dalam seni tatu. Kita sasarkan semua lapisan masyarakat yang berminat dalam tatu. Di Miri misalnya, ramai artis tatu berbakat tetapi mereka kurang menyerlah dan tidak dikenali kerana tidak mempunyai studio,” katanya.

Justeru, beliau berharap pameran itu menjadi platform kepada mereka untuk mengembangkan potensi serta bakat yang mereka ada untuk dikomersialkan. John Jaban berkata, mereka menerima 22 penyertaan namun terpaksa mengehadkan kerana faktor ruang, namun jumlah pengunjung yang tidak dijangka begitu ramai menyebabkan ruang pameran sesak dan panas.

“Kami tidak sangka pengunjung begitu ramai datang kerana kami bergantung sepenuhnya dengan laman sosial Facebook untuk mempromosikan pameran itu, selain akhbar tempatan,” katanya.

Berdasarkan sambutan luar biasa daripada peminat tatu termasuk Brunei dan Sabah, pihaknya bercadang untuk mengadakan konvensyen tatu antarabangsa di Miri pada tahun depan. Bahkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sudah memberi jaminan untuk menyokong penganjuran aktiviti ini secara tahunan. Kita bercadang untuk menganjurkan konvensyen ini antara Ogos hingga Oktober tahun depan memandangkan pada masa itu, ramai pelancong datang ke Sarawak,” katanya.

Kata beliau, konvensyen tersebut dijangka diadakan di Stadium Tertutup Miri bagi memberi ruang yang lebih luas dan lebih ramai peserta untuk mengikuti konvensyen. Memandangkan tempoh masih panjang, kita mahu mengumpulkan kaki tatu dari luar negara termasuk China, Belanda, Amerika Syarikat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, promosi akan dilaksanakan lebih meluas melalui media cetak dan elektronik terutama Facebook.

Sementara itu, pameran selama dua hari itu dimeriahkan dengan pertandingan Ratu Tatu 2010, Pertandingan Ukiran Tatu kategori warna hitam, kelabu dan tribal, demonstrasi melukis tatu selain persembahan.

Antara artis tatu terkemuka yang datang ialah Robert Mayau dari Kapit, Monkey Tattoo Studio (Kuching) dan Mao Kelly (Kuala Lumpur) serta 12 artis tatu dari Kuching.


Rania Paran. Tatu bukan lambang gangster. Utusan Sarawak@ Utusan.com.my. 2010

Tatu Lambang Keberanian Iban



Robert Mayau di depan kedai tatu miliknya, Borneo Native & Western di Kapit, Sarawak.

KAPIT 27 Okt. – Suatu ketika dahulu masyarakat Iban di negeri ini terkenal dengan tradisi ‘ngayau’ yang membawa maksud memenggal atau memburu kepala musuh. Kisahnya pernah diabadikan oleh penulis terkenal Barat, Carl Bock di dalam bukunya The Head Hunters of Borneo yang diterbitkan pada 1881.

Kini seiring dengan perkembangan masa, tradisi itu telah luput ditelan zaman. Walaupun era ‘ngayau’ telah berlalu namun, semangat serta keberanian mereka menentang musuh telah diterjemahkan melalui pemakaian tatu yang dikenali sebagai ‘pantang’ bagi masyarakat itu.

Di Semenanjung, tatu secara umumnya dianggap lambang bagi kumpulan kongsi gelap atau sekadar suka-suka. Namun, bagi masyarakat Iban di negeri ini, ia adalah lambang kelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki.

Kerana itu, sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari, lengan dan paha.

Sementara wanita Iban pula ditatu pada bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain berfungsi sebagai penghias diri.

Tidak kurang juga masyarakat Iban yang menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang. Corak-corak yang menjadi pilihan pula dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit.

Pemilik kedai tatu Borneo Native & Western, Robert Mayau, 44, berkata, selari dengan peredaran zaman, tatu yang dianggap sebagai lambang status seseorang kini dilihat sebagai hasil seni dan aksesori diri. “Kalau dahulu masyarakat Iban lebih selesa dengan corak-corak yang lazimnya diilhamkan daripada tumbuhan seperti bunga terung, buah engkabang serta haiwan seperti burung kenyalang, naga, anjing, kala jengking dan ketam. Namun kini orang ramai khususnya golongan muda lebih menyukai corak yang bersifat moden dan peribadi.

“Apa pun, sebagai pembuat tatu saya mementingkan kepuasan pelanggan kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup di tubuh seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bercerita mengenai tatu, Robert menjelaskan, dalam proses pembikinannya, beliau amat mementingkan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Katanya, kebiasaannya jangkitan atau masalah kesihatan kerap berlaku di dalam proses membuat tatu secara tradisional oleh pembuat tatu yang tidak profesional.

“Daripada pemerhatian saya, perkara ini sering terjadi di rumah panjang kerana pembuat tatu tidak tahu cara yang betul untuk menjaga peralatan tatu yang digunakan supaya tidak tercemar dengan kuman,” katanya.

Sementara itu, Robert berkata, di premisnya, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menghasilkan tatu menggunakan peralatan moden atau tradisional.

Peliknya jelas beliau, pelancong asing lebih menggemari kaedah tradisional berbanding masyarakat Iban sendiri.

Katanya, pembuatan tatu secara tradisional menggunakan teknik mengetuk menggunakan pemalu kayu yang diperbuat daripada tanduk rusa serta sebatang kayu untuk meletakkan jarum yang digunakan. “Cara tradisional lebih sukar berbanding cara moden kerana kayu tersebut perlu diketuk untuk menghasilkan tatu dan kerana itu kosnya adalah lebih mahal. “Ketika membuat tatu secara tradisional, apa yang paling penting adalah kekuatan tangan, kesabaran dan ketelitian manakala pelanggan pula perlu menahan sedikit rasa sakit kerana prosesnya tidak menggunakan ubat pelali,” katanya.

Mengulas lanjut, Robert menjelaskan sesebuah tatu yang mudah motifnya hanya mengambil masa kurang dua jam untuk disiapkan manakala motif yang kompleks pula boleh mengambil masa selama bertahun-tahun.

Katanya, walaupun motif moden lebih menarik minat pelanggannya, namun, sejumlah besar daripada mereka masih memilih motif tradisional seperti bunga terung. Dalam pertemuan baru-baru ini, Robert turut berkongsi kisah di sebalik penglibatannya dalam perniagaan membuat tatu yang diceburi sejak 14 tahun lalu.

Robert yang sebelum itu merantau ke serata dunia berkata, sejak di bangku sekolah beliau mempunyai bakat melukis namun, bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. “Semua hasil lukisan saya, saya simpan di dalam sebuah fail. Pada suatu hari, seorang kenalan saya yang berasal dari Amsterdam melihat hasil seni saya.

“Dia tertarik dan mahu mengabadikan lukisan saya sebagai tatu pada tubuhnya. Daripada situlah kerjaya saya sebagai pembuat tatu bermula,” jelas bapa kepada dua cahayamata itu.



Kaedah tradisional lebih popular dikalangan pelancong asing dan masih digunapakai sehingga hari ini


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Borneo Tattoo

Bepantang tauka Be''tattoo ukai lambang gangster. Tang minat siko2 kitai ngagai SENI. baka aku, aku minat seni asal tauka traditional kami Iban. Identiti siko2 mensia dikelala ari ukir. Anang kitak salah tafsir tauka salah perspektif meda bala kami ke bepantang. kami nyukung Dayak's Tattoo.





















animasi-bergerak-dragonball-z-0018Terima Kasihanimasi-bergerak-dragonball-z-0021=Lain hari datang lagianimasi-bergerak-dragonball-z-0064