Gambar hiasan |
Suku
kaum Iban ialah penduduk pribumi yang terbanyak di Sarawak yang dikenali
sebagai Bumi Kenyalang (Numpang, 1989). Pada zaman pemerintahan Rajah Brooke,
Sarawak disebut sebagai Bumi Pemotong Kepala. Negeri Sarawak mempunyai 23 etnik
utama dan berpuluh-puluh lagi suku kaum pribumi kecil-kecil yang kesemuanya
menganut pelbagai agama, kepercayaan dan mempunyai adat resam serta budaya
masing-masing menuturkan bahasa dan dialek yang berbeza-beza mengikut
daerah-daerah kediaman mereka di kawasan luar Bandar pendalaman.
Dua puluh tiga etnik bumiputera yang
utama di Sarawak ialah Dayak Iban (Iban
Skrang, Iban Miri-Bintulu-Limbang, Iban Saribas, Iban Batang Rajang, Iban
Undop, Iban Lemanak dan Iban Malikin), Melanau
(Seduan, Segalang, Belium, Bintulu, Segahan, Matu/Mato Daro, Oya, Mukah,
Rejang, Igan, Siteng, Tatau, Balingian, Kanowit, Sekapan, Kejaman, Lahuna,
Banyok), Bidayuh (Orang Biatah,
Bukar-Sadong, Bau-Singghi-Jagoi, Selakau dan Lara, Kenyah (Orang Batu Biah, Murik, Lisong, Sebob, Sipang, Long Kipat,
Lepu Aga, Lepu Tau, Nyamok dan Uma Kulit), Melayu,
Kedayan, Belait, Sebuyau, Kayan, Punan, Penan (Kumpulan yang masih
Nomadik), Tebun, Bukat/Ukit, Bisaya,
Baketan, La’en, Tagal, Sian/ Sa’an, Lugat, Lisum, Kelabit, Lun Bawang/ Lun Dayeh
(Murut). Kumpulan-kumpulan kaum ini tinggal di kawasan tanah rendah dan
bahagian darat, kawasan tanah tinggi dan kawasan pesisir. Masyarakat Dayak Iban
tradisional adalah penduduk pribumi yang paling dominan di Sarawak, diikuti
oleh Dayak Bidayuh, kaum Melayu-Melanau dan lain-lain kumpulan etnik di atas
yang dikenali sebagai Orang Ulu.
Orang Iban tradisional
dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka berasal dari Kalimantan, Indonesia
tetapi berpindah mereka ke Sarawak pada masa hamper sama dengan kedatangan
bangsa Eropah ke Asia Tenggara (Kedit, 1984). Mereka memasuki Sarawak melalui
Batang Air Kapuas, jalan masuk paling mudah bagi melintasi sempadan
Sarawak-Kalimantan (Jensen, 1966). Pada asalnya, menurut Sandin B (1956), Sengalang Burung (nenek moyang Orang Iban) dengan
pengikutnya telah menduduki sepanjang kawasan Sungai Kapuas dan anak-anak
sungainya di barat daya Pulau Borneo. Tetapi kemudian cucu Sengalang Burong
yang bernama Sera Gunting lebih gemar
mendiami Banjaran Tiang Laju di bahagian barat Pulau Borneo (Sarawak).
Bagaimana pun, Sengalang Burong mengadakan persidangan dengan anak-anak buahnya
di Merakai (salah sebuah anak Sungai Kapuas) untuk merancang perpindahan ke
Batang Ai.
Sejarah telah
menunjukkan bahawa masyarakat Iban berasal dari Kapuas, Indonesia (Richards,
1949) tetapi berpindah dari sana dan mula menetap di Kumpang (tempat tinggal
mereka yang pertama di Sarawak). Sebahagian daripada mereka pula dipengaruhi
oleh seorang pemimpin kaum Iban yang bernama Lelang Belayan untuk mengubah haluan ke hulu sungai Kumpang yang
menghala ke Lubok Antu dan Engkelili lalu menetap di kawasan Sungai Batang
Lupar yang lebih dikenali sebagai Batang Ai (Batang Air). Dari Batang Ai, suku
kaum Iban berpindah ke anak-anak sungai di Ulu Ai dan membuat rumah panjang
mereka di Delok, Mepi, Jinggin, Engkari, Skrang dan Lemanak. Namun Demikian,
ramai di antara mereka yang berpindah lagi lalu menetap di Sungai Undup dan
Wong Tempangau (Sandin B, 1994) di bawah pimpinan Kajup, dan mereka kini dikenali sebagai Iban Undup (diasosiasikan
dengan nama tempat tinggal mereka). Kelihatannya, perpindahan awal Dayak Iban
adalah amat berselerak di kawasan hulu sungai Batang Lupar dan Batang Saribas
(Vinson, 1989) di Bahagian Sri Aman, dan
perpindahan mereka ini telah berlaku sejak abad ke 19 dari Hulu Batang Lupar
melalui sempadan Kalimantan menuju ke kawasan Rejang. (Victor, 1985).
No comments:
Post a Comment