Pages

Thursday, 29 May 2014

Nilai tradisi tatu dalam masyarakat Iban

Artikel ini saya perolehi dari Borneo Post Online
May 10, 2014
oleh Hamimi Kassim


Peminat seni tatu (dari kiri) Parn, Boy Iban dan Susan bergamabr di studionya
TATU atau ‘pantak’ dalam bahasa Iban, merupakan lambang peribadi dan keunikan seni tradisi yang sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak. 


Pada masa dahulu, masyarakat Iban menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang.

Corak-coraknya pula dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada semangat atau roh jahat, mengelak kecelakaan serta penyakit dan menakutkan musuh.

Pada masa dahulu juga, tatu dianggap sebagai lambang kejantanan, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki setelah sesuatu kejayaan dicapainya.


Sementara wanita Iban pula, tatu pada jari, lengan, kaki dan paha melambangkan kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi.


Timba Pengalaman

Menurut Allanstair Dend atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iban, 30, pada masa dahulu masyarakat Iban cenderung menggunakan corak diilhamkan daripada flora dan fauna seperti bunga terung, burung kenyalang, naga dan banyak lagi.

Seiring dengan peredaran arus zaman, tatu yang menjadi pilihan generasi hari ini lebih kepada motif bercorak moden diinspirasikan daripada tatu seluruh dunia.

Menurut Boy Iban, minatnya terhadap seni tatu memang sudah lama ada tetapi dia mula serius menceburkan diri dalam bidang tersebut kira-kira 10 tahun lalu.

“Disebabkan tiada pengajar, saya mengambil inisiatif sendiri dengan belajar melalui pemerhatian dan menonton video dari YouTube.

“Memang tidak dapat dinafikan YouTube paling banyak membantu dan saya masih ingat, saya belajar dari situ kira-kira lapan tahun baharulah dapat mahir seperti sekarang,” katanya yang kini mempunyai kemahiran dalam membuat tatu teknik moden dan tradisional (teknik mengetuk atau handtap).

Boy yang merupakan pemilik studio Pengayau Ink Tatoo di Kuching memberitahu, dia turut mengalu-alukan generasi muda yang berminat mempelajari teknik menghasilkan tatu di situ.


BERAKSI: Susan sedang melukis tatu pada lengan seorang pelanggan.
Susan sedang melukis tatu pada lengan pelanggan
TOLAK PERSEPSI
“Sebagai seorang yang bermula dari bawah, saya memahami kekurangan landasan untuk mempelajari teknik membuat tatu di bandar ini.

“Sesetengah orang tidak mahu mengajar teknik yang mereka ada mungkin atas sebab eksklusif dan berpendapat akan mengganggu perniagaan mereka nanti.

“Namun bagi saya, sesiapa yang berminat pasti kita akan galakkan kerana dari situ sahajalah cara kita dapat mempertahankan seni dan tradisi yang ada ini daripada hilang sekiranya tiada pelapis,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai persaingan perniagaan tatu di bandar ini, jelasnya, seperti perniagaan perkhidmatan lain pastinya mempunyai persaingan terutamanya daripada pembuat tatu sambilan. “Namun begitu, kita melihatnya dari sudut positif.

“Peluang kita adalah sama jadi terpulang kepada pelanggan untuk memilih dan mereka lebih tahu apa yang mereka inginkan,” katanya mengakui peluang perniagaan semakin meluas dengan adanya media sosial.

Sementara itu, seorang gadis dari Miri yang dahulunya hanya memiliki kemahiran membuat tatu dengan kaedah tradisional kini sudah mula mendalami kemahiran membuat tatu kaedah moden di bawah tunjuk ajar Boy Iban.

Susan Christie, 23, mengakui walaupun terdapat pelbagai persepsi dan pandangan orang terhadap kaum wanita yang menceburi seni ukiran tatu, namun dia tekad dan menguatkan semangat kerana minatnya yang mendalam kepada seni itu.

“Saya mula menceburkan diri dengan serius dalam bidang ini pada tahun 2012 dengan mempelajari teknik handtap daripada sahabat yang juga guru saya, Silvester Juli di Miri.

“Cabaran sebagai seorang pembuat tatu wanita sememangnya dapat saya rasakan dan kadang-kadang berasa sungguh ‘kecil’ apabila dikelilingi pembuat tatu lelaki,” ujarnya.

Ketika ditanya perbezaan antara teknik tradisional dan moden, Susan memberitahu paling ketara adalah masa yang diambil.

“Membuat tatu menggunakan kaedah tradisional memakan banyak masa dan disebabkan itu juga kadar bayaran dikenakan bagi teknik itu mahal sedikit.



“Namun begitu, satu perkara yang ramai tidak tahu ialah kaedah tradisional kurang sakit berbanding menggunakan mesin dan ini diakui oleh ramai pelanggan setelah mencubanya sendiri,” ceritanya.




KOLEKSI STUDIO PENGAYAU INK TATOO
Koleksi studio Pengayau Ink

KEPUASAN PELANGGAN

Boy dan Susan bersetuju, sebagai pembuat tatu keutamaan mereka adalah pelanggan yang mana daripada permulaan hinggalah selesai membuat tatu.

Menurut mereka berdua, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan mereka kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup di tubuh seseorang.

“Dalam proses pembuatan tatu, selain corak tatu yang akan kita bincangkan bersama, kebersihan adalah antara perkara utama yang kami pentingkan,” jelas mereka yang mana pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menghasilkan tatu menggunakan peralatan moden atau tradisional ataupun proses dilaksnakan di studio atau lokasi pilihan mereka.

Sementara itu, seorang lagi perantis di Pengayau Ink Tatoo iaitu Rattanaparn Eh Poon (Parn Promdi), 21, dari Kuala Lumpur berkata, dia teruja datang ke Sarawak kerana dapat menambah pengetahuannya dalam seni tatu.

“Walaupun hanya tujuh bulan di sini, saya pasti akan memanfaatkan peluang yang ada kerana bagi saya minat yang mendalam pada seni tatu,” ujarnya memberitahu tempat bukanlah penghalang kepada minatnya.

Parn yang turut mempelajari teknik membuat tatu daripada YouTube mengakui bahawa seni ini bukanlah suatu yang mudah dan ia memerlukan ketelitian, fokus serta kemahiran yang tinggi.

Sepanjang berada di studio Pengayau Ink Tatoo, ketiga-tiga anak muda ini langsung tidak ‘lokek’ memberikan maklumat dan mengalu-alukan kedatangan penulis.

Paling penting mesej yang mereka ingin sampaikan iaitu jangan sesekali memandang serong terhadap individu bertatu paling penulis sokong kerana sebagai sebahagian komuniti majmuk dan berbilang bangsa, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberi persepsi negatif kepada golongan yang mencacah dan memiliki tatu.

Mereka turut melahirkan rasa sedikit kecewa apabila masih terdapat segelintir masyarakat masih mempunyai persepsi individu bertatu adalah kumpulan samseng dan budak jahat.

Lawatan penulis ke studio terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce itu tidak dapat dilupakan apabila mereka turut menunjukkan koleksi hasil karya dan lukisan tatu koleksi peribadi mereka yang disimpan di dalam fail khas.

Melalui lukisan itu, dapat penulis simpulkan bahawa bakat yang anak muda ini miliki sungguh hebat dan berharap mereka berjaya dalam bidang yang diceburi.

No comments:

Post a Comment

animasi-bergerak-dragonball-z-0018Terima Kasihanimasi-bergerak-dragonball-z-0021=Lain hari datang lagianimasi-bergerak-dragonball-z-0064