Nanga Kesit, Lubok Antu Sarawak Sumber: The Star Online |
Masyarakat
Iban sering kali digambarkan sebagai satu bangsa yang kejam, garang dan
agresif. Ini kerana kisah ngayau (memotong
kepala) telah dieksploitasi dan disalahtafsir oleh orang Barat yang menggelar
Sarawak sebagai Bumi Pemotong Kepala. Sesungguhnya, tanggapan demikian amatlah
tidak tepat kerana kaum Iban adalah satu bangsa yang sangat baik, penyayang dan
pemurah (Melling, 1998). Sebenarnya ngayau
dilakukan oleh orang Iban pada zaman silam semata-mata untuk tujuan
mempertahankan diri daripada dicabar, dipermain-mainkan dan diganggu oleh kaum
lain termasuk penceroboh masuk orang asing seperti orang-orang Rajah Brooke
dahulu. Bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Iban hanya membunuh semasa ngayau (ekspedisi perang) sahaja, bukan
pada sebarang masa sesuka hati. Lelaki Iban yang membawa balik kepala musuh
akan mendapat ensumbar, iaitu gelaran
nama (nama puji-pujian) seperti Bujang
Berani wira/pahlawan Iban) dan sebagainya.
Kepala
musuh yang diperolehi akan diawet dan disalai, dan tengkorak ini dipanggil antu pala (trophy kepala) yang akan
dijadikan harta pusaka keluarga berkenaan turun-temurun. Antu pala itu akan digantung di atas bedilang (dapur kecil) di ruai
dan dipanaskan dengan api kecil supaya antu
pala tersebut dapat berehat dengan tenteram. Pada hakikatnya, tidak semua
musuh yang ditemui di medan perang akan dibunuh. Contohnya, wanita dan
kanak-kanak hanya ditangkap dan dijadikan tawanan perang di rumah panjang
tetapi diberi layanan yang baik, dan kemudian dijadikan ahli keluarga angkat
melalui adat mengiru hamba abdi (istiadat
mengangkat anak) atau gawai betembang (gawai
mengangkat anak), iaitu satu upacara khas untuk mengesahkan tawanan berkenaan
diangkat sebagai ahli keluarga oleh mana-mana famili yang sudi. Dengan demikian
halnya, maka kelas hamba abdi dalam masyarakat Iban.
Pada
zaman tradisi, sejak kecil lagi anak lelaki Iban telah diajar oleh ibu atau
nenek mereka bersikap berani untuk membalas dendam seperti membunuh dengan cara
memenggal kepala musuh yang telah membunuh ahli keluarga mereka. Cara orang tua
menanamkan sifat berani kepada anak kecil itu melalui nyanyian semasa
mendodoikan anak dan kadang-kadang bercerita secara lisan tentang mitos yang
berkaitan dengan dewa-dewa perang yang selalu mendapat kepala musuh dengan
banyak semasa pergi berperang atau ngayau.
Selain itu, para gadis juga tidak kurang memberi galakan kepada pemuda
supaya pergi ngayau dan membawa balik
kepala musuh kerana sekiranya anak muda belum berbuat demikian maka si gadis
tidak mahu berkahwin dengan pemuda berkenaan. Sekiranya seorang pemuda telah
mendapatkan kepala musuh maka dia akan menjadi kebanggan keluarganya dan
mendapat gelaran dan status Bujang
berani. Status Bujang Berani sangat
disanjung tinggi oleh masyarakat Iban pada zaman dahulu (Anonymous,1992:123).
Kaum perempuan masyarakat mempunyai
peranan yang penting juga dalam masyarakat tersebut dan salah satu daripada
peranan itu ialah melibatkan diri dalam seni rupa tradisi seperti menganyam dan
bertenun. Selepas musim menuai padi mereka mempunyai masa lapang untuk
melakukan aktiviti menganyam dan bertenun dan alat-alat yang dianyam adalah
seperti bakul dan tikar. Terdapat juga daripada alat-alat anyaman tersebut
dicipta untuk tujuan ritual seperti yang dipersembahkan kepada roh moyang
semasa ritual Gawai Antu. Mereka yang
boleh menganyam, bertenun dan seterusnya mempunyai kepakaran dalam mencampurkan
warna asli untuk tenunan ikat sangat disanjung tinggi dan mereka itu diberi
status tinggi dengan gelaran Indu Takar. Pada
zaman tradisi status Indu Takar ini adalah sangat berpretij dan mereka
dikategorikan dengan status Bujang Berani kaum lelaki kerana untuk mendapatkan
ritual Kayau Indu atau Gawai Engkuni iaitu suatu ritual khas
berkaitan dengan seni tenunan pua kumbu (Linggi,
2001:2). Ritual tersebut tidak boleh dilakukan sembarangan kecuali wanita yang telah
mendapat petunjuk seperti telah disuruh oleh dewi Kumang atau Indai Abang
melalui mimpi.
Gambar hiasan |
Anonymous.
(1992). Head Hunting in Borneo. The Sea
Dayaks and Other Races of Sarawak. Kementerian
Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chemaline
Anak Osup. (2006) Leka main: Puisi rakyat
Iban-Satu analisis tentang bentuk dan fungsi.
Tesis PHD yang tidak diterbitkan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.