Pages

Thursday 29 May 2014

Tatu bukan lambang Gangster



ISYMEL Lumut @ Roy Apai Sali (dua dari kiri), Robert Mayau dan Peter John menunjukkan keunikan ukiran tatu pada Pameran Tatu Miri di Dewan Suarah Miri, Sarawak, baru-baru ini.

MIRI 18 Okt. – Tradisi bertatu (bercacah) badan sebenarnya sudah lama wujud di kalangan masyarakat Iban, malah pernah menjadi status penting untuk menunjukkan kehebatan dan kekuatan setiap lelaki pada zaman itu. Ukiran pada bahagian leher misalnya, eksklusif untuk lelaki Iban yang berjaya memenggal kepala musuh dalam pertempuran.

Antara motif yang begitu terkenal dari dulu hingga sekarang ialah bunga terung atau ‘bungai terung’ dalam bahasa Iban. Motif suku Iban ini sebenarnya pernah hampir pupus pada tahun 1970-an apabila ia digantikan dengan motif dari Jepun seperti singa dan naga. Perubahan corak tatu ini turut mempengaruhi pandangan orang awam mengenai tatu. Terdapat golongan tertentu mengaitkan budaya bercacah badan dengan aktiviti jenayah dan gengsterisme, walaupun pada hakikatnya di sini ia bukan begitu. Persepsi itu menyebabkan ramai di kalangan generasi muda takut bertatu badan kerana bimbang sukar mendapat pekerjaan terutama dalam sektor awam.

Justeru, tidak hairan ada yang menggunakan seterika panas untuk menghilangkan ukiran tatu di badan khususnya bahagian yang terdedah seperti lengan. “Tatu sebenarnya seni warisan nenek moyang kami yang amat indah, namun sayangnya dicemari dengan imej gengster dan jenayah. Tidak semestinya memiliki tatu, anda seorang penjenayah yang dikehendaki,” kata legenda tatu terkemuka Sarawak, Peter John Jaban kepada Utusan Malaysia semasa Pameran Tatu Miri di Dewan Suarah, di sini baru-baru ini.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, beliau pada 1998 telah mengambil inisiatif untuk mengukir motif ‘bungai terung’ di badannya sendiri, walaupun masa itu merupakan era untuk motif naga dan singa. Katanya, tindakan menghidupkan semula ukiran tatu itu pernah dianggap ‘gila’, namun usahanya itu ternyata berbaloi apabila motif tatu itu bukan sahaja diterima oleh masyarakat tempatan, bahkan pelancong luar turut tertarik dengan keunikannya.

Beliau yang merupakan penasihat kepada beberapa persidangan tatu di Borneo menambah, orang awam harus mengubah pandangan serong terhadap tatu sebaliknya menerima ia sebagai satu seni dan fesyen.

“Kini semakin ramai golongan profesional seperti peguam, hakim bahkan doktor bertatu badan mereka dengan corak ukiran yang unik. Perkembangan ini membuktikan yang tatu semakin diterima di kalangan masyarakat,” katanya.

Menyentuh Pameran Tatu Miri yang julung kali diadakan di sini, John Jaban berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai seni tatu. Kita masih mengekalkan motif tradisi, namun cara atau kaedah tatu pada zaman kini jauh berubah sejajar dengan perubahan zaman. Semua perkakas yang digunakan termasuk jarum akan melalui proses pensterilan untuk mengelakkan jangkitan. “Selain memastikan kebersihan jarum yang digunakan, artis tatu sendiri mengutamakan aspek kebersihan dengan menggunakan sarung tangan sepanjang masa.

Katanya, seni bercacah dilakukan dengan cara betul dan orang awam tidak perlu meragui keselamatannya. Ujarnya, setiap pelanggan menggunakan jarum berasingan dan jarum yang sudah digunakan akan dilupuskan dengan cara selamat untuk menggelakkan terpijak dan merbahayakan keselamatan orang lain.

Di samping itu, pameran itu bertujuan untuk memulihara amalan tradisional dengan mempamerkan kemahiran penduduk tempatan melukis tatu pada badan. Sementara itu, seramai 50 peminat dan artis tatu menyertai pameran selama dua hari bermula 9 Oktober lalu yang diadakan di aras bawah Dewan Suarah Miri.

Menurut John Jaban, mereka tidak menyangka sama sekali sambutan yang luar biasa memandangkan ia pertama kali diadakan di Miri. Sebelum ini, kita pernah menganjurkan konvensyen tatu di Kuching dan Sibu, namun sambutan di sini begitu memberangsangkan. Saya tidak menyangka Miri mempunyai ramai bakat terpendam dalam seni tatu. Kita sasarkan semua lapisan masyarakat yang berminat dalam tatu. Di Miri misalnya, ramai artis tatu berbakat tetapi mereka kurang menyerlah dan tidak dikenali kerana tidak mempunyai studio,” katanya.

Justeru, beliau berharap pameran itu menjadi platform kepada mereka untuk mengembangkan potensi serta bakat yang mereka ada untuk dikomersialkan. John Jaban berkata, mereka menerima 22 penyertaan namun terpaksa mengehadkan kerana faktor ruang, namun jumlah pengunjung yang tidak dijangka begitu ramai menyebabkan ruang pameran sesak dan panas.

“Kami tidak sangka pengunjung begitu ramai datang kerana kami bergantung sepenuhnya dengan laman sosial Facebook untuk mempromosikan pameran itu, selain akhbar tempatan,” katanya.

Berdasarkan sambutan luar biasa daripada peminat tatu termasuk Brunei dan Sabah, pihaknya bercadang untuk mengadakan konvensyen tatu antarabangsa di Miri pada tahun depan. Bahkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sudah memberi jaminan untuk menyokong penganjuran aktiviti ini secara tahunan. Kita bercadang untuk menganjurkan konvensyen ini antara Ogos hingga Oktober tahun depan memandangkan pada masa itu, ramai pelancong datang ke Sarawak,” katanya.

Kata beliau, konvensyen tersebut dijangka diadakan di Stadium Tertutup Miri bagi memberi ruang yang lebih luas dan lebih ramai peserta untuk mengikuti konvensyen. Memandangkan tempoh masih panjang, kita mahu mengumpulkan kaki tatu dari luar negara termasuk China, Belanda, Amerika Syarikat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, promosi akan dilaksanakan lebih meluas melalui media cetak dan elektronik terutama Facebook.

Sementara itu, pameran selama dua hari itu dimeriahkan dengan pertandingan Ratu Tatu 2010, Pertandingan Ukiran Tatu kategori warna hitam, kelabu dan tribal, demonstrasi melukis tatu selain persembahan.

Antara artis tatu terkemuka yang datang ialah Robert Mayau dari Kapit, Monkey Tattoo Studio (Kuching) dan Mao Kelly (Kuala Lumpur) serta 12 artis tatu dari Kuching.


Rania Paran. Tatu bukan lambang gangster. Utusan Sarawak@ Utusan.com.my. 2010

No comments:

Post a Comment

animasi-bergerak-dragonball-z-0018Terima Kasihanimasi-bergerak-dragonball-z-0021=Lain hari datang lagianimasi-bergerak-dragonball-z-0064